Thursday 28 June 2012

Bertemu Ayahanda..

Salam Petang Khamis..

Rindu sebenarnya nak menulis.. tapi kesibukan dan keletihan sering sahaja buatkan aku tidak dapat menjana idea untuk menulis seperti dulu.. walaupun sebenarnya.. banyak benda yang aku ingin kongsikan seperti mana yang sering aku lakukan dulu-dulu..

Pagi tadi selepas solat subuh... Aku bermimpi.. Mimpi aku sedikit pelik tapi ianya berkisar tentang kehidupan aku di sebuah rumah.. kiranya rumah itu adalah rumah aku.. dan aku sedikit sibuk untuk bersiap2 ke tempat kerja.. Dalam aku sibuk-sibuk itu.. Mak dan Ayah ada dalam bilik itu.. mulanya aku buat seperti biasa.. tanpa sedikit pun menyedari Ayah ada bersama aku ketika itu.. Tiba-tiba datang dalam fikiran aku...yang aku bersama ayah (dgn kata lain.. teringat yang aku berjumpa dengan ayah dalam mimpi)... dan dengan segera aku datangi ayah yang mulanya sedang baring dan mengubah posisi duduk di atas katil.. lantas aku cium dahi dan pipi ayah.. kataku..
"Ayah... HH rindukan ayah"

Kata ayah.. "Ayah rindukan ko juga" sambil tersenyum

Tidak lama aku lihat ayah bangun untuk bersiap keluar dari rumah itu.. Aku terus berdiri berhampiran dengan ayah dan dia sempat berpesan
Kata ayah "Jadilah anak yang bertanggungjawab.. dan jaga amanah adik-adik"

Itulah 2 pesanan ayah sebelum dia keluar dari pintu rumah.. Ketika itu ada 1 kumpulan manusia yang sedang menunggu ayah di luar pintu.. tidak lama.. datang pula arwah nenek...dan aku sempat bersalam dengan arwah nenek.. ketika aku berada di luar pintu.. ada beberapa budak-budak di sekeliling aku..Salah seorang dari mereka.. bertanya pada arwah nenek aku..
Kata budak itu "Nenek macamana sebutan orang banjar"

Arwah nenek aku menyebut "sebutan orang banjar kebanyakan berakhir dengan rgk"

Lalu budak itu terus berkata "kalau macam tu kena sebut 'daring'"

Lantas kedengaran gelak ketawa dari orang sekeliling dan aku turut tergelak sama.. dan aku terus terjaga..

Kini sudah sebulan Ayahanda pergi.. hari ini 28hb June.. Ayahanda pergi 28hb Mei.. Mungkin sebab itulah aku bermimpikan Ayahanda... Selepas beberapa minggu Ayahanda pergi aku pernah bertanya pada Mak.. Andai dia pernah mimpikan Ayah.. Kata mak dia selalu mimpikan ayah.. berbual dengan dia di meja makan seperti selalunya.. Adik pula pernah mimpi melihat aku dan ayah bersembang di meja makan.. Hanya aku sahaja yang tidak pernah mimpikan dia sebelum ini..

Hari ini aku mimpi Ayah... dengan 2 pesanan dan amanat dia yang paling besar...
1- Tanggung jawab sebagai seorang anak..
2- Amanah yang perlu aku pegang untuk adik-adik..

Kata kawan aku.. pesanan itu berat untuk dipikul.. tapi aku tahu kenapa pesanan itu ayah sampaikan pada aku..

Selesai mandi selepas terjaga dari tidur tadi.. Aku menangis di katil.. serasa baru sahaja aku bertemu dan berbual dengan ayah.. dan bila teringatkan 2 pesanan itu.. Aku tahu besar tanggungjawab yang perlu aku pikul.

InsyAllah.. Aku doakan Allah sentiasa berikan dan permudahkan urusan dan jalan untuk aku laksanakan 2 amanat itu..

Monday 25 June 2012

Hidup kini berbeza..

Salam Petang isnin

Sudah lama aku tidak update blog ini.. hampir 3minggu rasanya.. Bukan takde benda yang hendak diceritakan banyak... tapi kesibukan dengan kerja (alasan) buatkan idea2 yang terbit untuk aku kongsikan di sini lupa terus..

Sejak Ayahanda meninggal dunia.. setiap hari jumaat.. aku akan pulang ke kampung selepas waktu kerja.. Isnin pagi pula aku akan bertolak dari kampung ke tempat kerja.. kiranya malam tidur aku di rumah hanya 4 malam sahaja.. baki 3 malam aku habiskan di kampung.. Kini rutin ini seolah satu kemestian pada aku.. cuma minggu lepas sahaja aku bermalam di rumah pada hari jumaat itupun kerana ada mesyuarat tergempar yang perlu aku hadiri di pejabat pada pagi sabtu..

2 minggu ini juga tugasan kerja aku banyak.. bermula minggu lepas aku berbengkel selama 4 hari.. 2 hari di tempat kerja dan 2 hari pula di Putrajaya.. bengkel di Putrajaya kiranya menemukan aku dengan pelbagai professor di seluruh IPTA.. 1 penyelidikan yang bakal dibuat di semua IPT di Malaysia atas permintaan KPT.. memandangkan aku dan geng aku sedang bangunkan 1 projek dengan MIMOS dengan skop penyelidikan yang hampir sama.. maka kiranya atas dasar kepakaran aku diminta untuk hadir.. Tapi apa pun memang best jugalah.. join geng2 prof nie ahaks..

Minggu ini ada 2 hari lagi bengkel... kemudian 2 minggu lagi pun ada 3 bengkel serentak pada minggu itu.. 1 bengkel di USM selama 3 hari telah pun diminta tangguh atas arahan TNCP.. 1 bengkel di KL dan 1 lagi bengkel Java programming selama 5 hari... ikutkan semua nak pergi.. tapi badan aku hanya 1 sahaja...

Hidup dek kerna kesibukan tuh.. aku kadangkala sedikit terleka dengan rasa sedih dan sebak aku itu.. bukan maknanya aku terlupa... tapi kesibukan membuatkan fikiran aku fully occupied.

Akan aku sambung lagi entri yang lain di masa yang lain ;)



Friday 8 June 2012

Bila airmata tumpah lagi..

Salam Petang Jumaat

Kini sudah menghampiri 2 minggu ayahanda pergi.. Sudah 5 hari juga anakanda mula bekerja.. hari pertama anakanda tidak dapat fokus dengan kerja.. sepanjang hari bekerja.. hati mudah tersentuh... Selasa rabu anakanda mula sibuk kan diri dengan urusan kerja.. Menyemak assignment student yang bertangguh sejak 2 minggu lalu.. semua sudah disemak.. cuma menunggu maklumbalas pelajar yang masih belum menghantar assignment akhir...

Hari ini masuk hari ke 3 anakanda sendirian di rumah.. Dia pulang ke kampung atas urusan keluarga... kiranya sudah 2 malam anakanda tidur sendirian.. bukan soal tidur sorang itu yang menjadi soal.. anakanda tidak kisah sangat.. cuma waktu di saat emosi anakanda yang kiranya tidak benar-benar recover.. sedikit sebanyak menyentuh rasa juga.. apatah lagi.. selama 5 tahun dulu.. ayahanda sering datang ke rumah anakanda dan tidur sendirian di rumah itu.. Dulu ayahandalah yang jaga rumah itu.. tanam pokok-pokok di sekelilingnya..bayarkan bil-bil elektrik.. air.. kad kredit anakanda.. malah cukai tanah.. pintu.. dan segala bil yang datang.. Ayahanda lah yang tolong uruskan... Dulu sebelum anakanda pergi.. rumah itu tidak ada pokok... kini keliling rumah anakanda penuh dengan pelbagai jenis pokok bunga dan buah-buahan hasil tangan ayahanda...

Kemarin anakanda masuk ke bilik satu lagi.. Di situ masih ada beberapa helai kemeja ayahanda yang digantung kemas.. baju berkebun ayahanda.. kain pelikat.. tuala yang semuanya milik anakanda.. anakanda usap setiap baju ayahanda itu dengan rasa yang pilu.. walaupun hati redha.. tapi terusik juga rasa hati anakanda.. seperti mana kata Kekanda.. dia tidak pernah nak usik atau alihkan barangan milik ayahanda... kini bila anakanda masuk bilik itu.. perkara yang sama juga anakanda lalui.. anakanda lihat kain pelikat ayahanda tersusun elok tidak berusik.. 2 keping tilam baru yang anakanda beli bila ayahanda nak datang ke rumah bulan lepas..

2 malam yang lalu juga.. anakanda habiskan masa tidur malam anakanda di hadapan tv.. dulu bila ayahanda datang bermalam ke rumah itu.. di sofa panjang itulah ayahanda tidur.. kini.. anakanda pula tidur di sebelah sofa itu.. sesekali terlintas di fikiran anakanda.. mungkin beginilah rasanya bila ayahanda datang bermalam di rumah anakanda selama 5 tahun anakanda di luar negara dulu.. Kasih sayang ayahanda.. kerja keras ayahanda.. terlihat pada setiap sudut rumah yang anakanda duduki kini..

Hari ini juga anakanda ke bank untuk menyemak urusan akaun ayahanda.. ada sedikit masalah dengan proses semakan kerana akaun kad tidak ada dalam rekod.. sedangkan bayaran telah ayahanda buat pada awal bulan yang lalu.. Seharian anakanda  cuba untuk mendapatkan maklumat... hari ini sahaja tah berapa orang kena marah kerana asyik suruh anakanda call nombor yang berlainan... Akhirnya.. panggilan ke4 selepas anakanda terpaksa tinggikan suara.. Anakanda diminta utk ke bank pula.. walhal sebelum tuh anakanda dah ke bank.. tapi pihak bank suruh call card centre.. call card centre pulak.. suruh ke bank.. siapa yang tak angin kan... ingat kita call ke sana sini tuh tak guna tenaga ke.. call tuh free ke.. kalau call trus angkat takpe juga.. tau jelah kan kalau call customer service macamana.. (sejak balik mesia nie rasa stress handle benda2 yang menyusahkan macam nie)

Akhirnya hari ini airmata anakanda tumpah lagi... tatkala seorang sahabat baik anda bertanyakan pasal ayahanda.. dalam berbual dengan dia.. anakanda menangis semula... airmata turun tanpa dapat anakanda kawal lagi.. Segan pun ada sebab kawan tuh lelaki.. tetapi anakanda tidak mampu berpura-pura.. kesedihan anakanda itu bukan dibuat-buat.. hingga kini rasanya kalau bercerita pasal ayahanda pasti hati anakanda akan sebak..

Petang ini anakanda akan pulang ke kampung.. kini sudah menghampiri 5.15ptg.. kejap lagi anakanda akan berkemas untuk balik ke rumah dan bersiap untuk jumpa bonda.. Minggu ini sahaja macam-macam kekecohan berlaku di kampung dek sikap salah seorang adinda anakanda... Syukurnya bonda kini punya anakanda... so malam ini anakanda akan berbual dengan bonda tentang isu itu nanti...

 Nama dan Nombor telefon ayahanda yang masih ada dalam senarai telefon anakanda..
Anakanda tidak akan delete sampai bila-bila..
Ianya akan kekal dalam senarai itu buat selama-lamanya..

Monday 4 June 2012

Ayahanda.. 3 bulan tempoh yang cukup manis dalam hidup anakanda

Assalamualaikum Ayahanda Tercinta..

Jasamu dalam mendidik anakanda.. tidak dapat anakanda balas..  Belum cukup lagi anakanda berbakti pada Ayahanda..

28 Mei 2012.. Pada pukul 12.30malam... Malam yang sepi itu menyaksikan airmata anakanda mengalir tanpa henti.. Walaupun anakanda cuba lelapkan mata sepanjang malam itu.. Airmata seolah tidak mampu berhenti.. setiap kali anakanda pejamkan mata.. kelopak mata anakanda pasti basah dengan linangan airmata.. Hati terlalu sedih.. hiba.. sebak..

Seperti mana minggu-minggu sebelum ini.. Kekerapan anakanda pulang ke kampung sudah menjadi rutin utama.. Kadangkala anakanda ke Jelebu.. namun sejak akhir-akhir ini.. Anakanda lebih kerap pulang ke kampung Ayahanda.. Bermula dengan urusan kereta sejak 3 minggu lepas.. Anakanda semakin kerap pulang untuk menguruskannya.. Kebetulan minggu ini Ayahanda mahu hantar kereta kancil milik Ayahanda ke bengkel kereta.. Bonda minta tolong anakanda untuk pinjamkan Ayahanda kereta wira milik anakanda buat sementara waktu.. Jumaat itu Kekanda anakanda bawa pulang kereta itu ke kampung.. malah dia menyuruh anakanda untuk pulang ke kampung.. Mulanya anakanda sedikit berat memandang anakanda merasakan sedikit lelah dan letih untuk berulang-alik lagi ke kampung.. Namun.. Kata-kata kekanda yang berulangkali mengingatkan anakanda.. buatkan anakanda akur dengan kehendak dia..

Jumaat selepas waktu kerja.. Anakanda memandu pulang ke kampung.. kiranya itulah kali pertama anakanda memandu kereta itu ke kampung... Malam itu sempatlah anakanda dan kekanda berbual dengan Ayahanda.. Sabtu anakanda keluar seharian membetulkan sedikit kerosakan lampu cermin sisi.. dan buat alignment.. Ahad pula anakanda tidak kemana-mana.. Tengahari anakanda tertidur keletihan.. Anakanda sedar sudah menghampiri Asar.. Anakanda solat jamak.. dan bersiap-siap mengemas barang untuk pulang.. Bonda beritahu anakanda yang Ayahanda tidak sihat.. Selalunya tiap kali anakanda hendak pulang.. Ayahanda pasti akan keluar dari bilik menemani anakanda hingga ke muka pintu.. Hari itu Bonda minta anakanda masuk ke bilik untuk bersalam dengan Ayahanda.. Seperti biasa anakanda cium tangan Ayahanda.. Ayahanda mengadu sakit dada.. dan mahu berehat.. Selepas itu anakanda pun pulang ke rumah.. hampir 2 jam perjalanan pulang dari kampung..

Menghampiri pukul 8 malam.. Bonda menelefon anakanda.. Kata Bonda.. Ayahanda ditahan diwad ICU selepas masuk ke wad kecemasan. Doktor berpesan pada Bonda menyuruh semua anak-anaknya balik.. Ayahanda dalam keadaan kritikal kata Bonda..

Anakanda kelam kabut berhenti memasak.. Ketika itu anakanda sudah siap memasak sebahagian makanan untuk makan malam.. Anakanda kemas dapur.. masukkan baki makanan ke dalam peti ais.. Anakanda keluarkan baju.. beg yang anakanda bawa dari kampung masih belum terusik.. Anakanda masukkan baju dan jubah tambahan.. Anakanda terus mandi dan bersiap..

Malam itu anakanda pecut membawa kereta.. Kelajuan menghampiri 150km/j.. Dalam kepala Anakanda seolah tidak percaya Ayahanda kini ditahan dalam wad ICU.. serasa baru sahaja tadi anakanda melihat Ayahanda sihat.. cuma fikir anakanda petang tadi.. Ayahanda sekadar sakit dada biasa..

Anakanda tiba di hospital pkl 10.30malam... Anakanda sempat bertemu dengan Ayahanda.. Ayahanda masih mampu berbual dengan anakanda.. Kata Ayahanda..
'Ko balik tadi. ayah sakit dada sangat.. tuh yang suruh mak hantar ke hospital..'

itupun.. sepanjang berkata-kata itu.. Ayahanda berulang kali batuk-batuk dan kelihatan sesak nafas.. Anakanda sudah tidak dapat menahan airmata.. Anakanda usap tangan Ayahanda.. lantas anakanda katakan pada Ayahanda 'Takpelah ayah.. Ayah rehatlah.. HH minta maaf  ye yah.. Kalau ada salah silap selama ini..'

Kata-kata anakanda itu Ayahanda sahut dengan anggukan kepala yang lemah.. Muka Ayahanda masih tersenyum.. dan.... rupanya itulah kata-kata terakhir anakanda  pada Ayahanda.. dan itulah jugalah kata-kata terakhir yang anakanda dengar dari mulut Ayahanda...

Selesai anakanda melawat Ayahanda.. Kekanda pula datang bertemu Ayahanda.. dan adik-adik mula masuk berjumpa Ayahanda... Anakanda mula menelefon Pak Usu.. Minta mereka datang ke hospital kerana ayah dah mula kritikal..

Lewat ketibaan Pak Usu dan Mak Usu... selepas Mak usu masuk.. tidak lama Mak Usu keluar memberitahu Bonda yang Ayahanda sudah tidak ada lagi.. Berkumandanglah tangisan dari Mak.. Anakanda belum lagi mengalirkan airmata.. kiranya mungkin kerna anakanda masih tidak percaya Ayahanda sudah tidak ada...

Anakanda masuk ke dalam wad ICU.. Sebaik sahaja anakanda selak tirai hijau di sisi katil Ayahanda.. Anakanda lihat Ayahanda sudah terbaring kaku.. Ketika itulah anakanda tahu realiti dan hakikatnya.. Ayahanda sudah tidak ada lagi.. Tiada lagi cerita-cerita Ayahanda yang akan anakanda dengari lagi.. Airmata anakanda mengalir.. Kali ini sedu sedan kedengaran.. Hiba sebak.. sedih.. Seolah tidak percaya Anakanda sudah kehilangan Ayahanda.. 3 bulan anakanda pulang ke tanahair.. Allah hanya berikan masa 3 bulan untuk anakanda bersama Ayahanda memijak bumi dan tanah yang sama... Mendengar cerita Ayahanda.. mendengar luahan hati Ayahanda.. mendengar nasihat Ayahanda... kini.. semua itu tinggal kenangan..

Selepas itu.. kami sekeluarga mula sibuk menguruskan Ayahanda... Anakanda bawa pulang mak dan adik.. untuk mengemas rumah untuk ketibaan Ayahanda nanti.. Ayahanda dibawa pulang dengan van jenazah hospital.. Wajah Ayahanda tersenyum manis.. Seperti kebiasaan Ayahanda bila berbicara dengan anakanda..

Malam itu bergilir-gilir kami membaca yassin untuk Ayahanda... malam itu juga anakanda tidur di sisi Ayahanda.. Ayahanda tidur di atas katil.. Anakanda tidur di bawah menemani Ayahanda.. Namun.. anakanda tidak boleh lelap.. setiap kali anakanda lelapkan mata.. pastinya airmata anakanda akan mengalir sendiri.. sepanjang malam itu anakanda terjaga.. entah berapa kali anakanda cium pipi Ayahanda berulang kali.. Kadangkala anakanda meninjau-ninjau andai ada semut atau lalat yang cuba hinggap di badan Ayahanda.. Anakanda terkenang.. pastinya dulu semasa kecil.. begitu jugalah yang pernah Ayahanda buat untuk anakanda.. Biarlah anakanda berbakti untuk Ayahanda buat kali terakhir.. Adakalanya anakanda tidur di sisi Ayahanda.. di tepi sisi katil.. Berulang kali anakanda renung jasad Ayahanda... Ingin sekali anakanda melihat dada Ayahanda turun naik dengan nafas yang ada.. Namun walau setinggi mana pun harapan anakanda.. anakanda pasti.. Ayahanda tidak akan mampu bernafas lagi.. sekalipun anakanda mengharapkan turun naik nafas Ayahanda berlaku depan mata anakanda.. Ayahanda sudah pergi tinggalkan kami..

Ketika Ayahanda sedang dimandikan..
Anakanda mengintai dari tepi..
Andai Anakanda adalah anak lelaki..
Pasti Anakanda akan mandikan Ayahanda..

Dulu.. Semasa arwah Nenek dan Atok.. Anakanda ada sedikit kerisauan apabila mahu mendekati mereka ketika menunggu masa untuk dimandikan dan dikapankan.. Kali ini.. Anakanda tidak merasa takut dan gerun walau sedikit pun... mungkin kerana itu adalah Ayahanda.. Ayah yang satu-satunya buat anakanda di dunia ini.. Malah bila ke kubur sekali pun.. Anakanda langsung tidak punya rasa takut... Untuk apa anakanda mahu berasa gerun sebegitu.. Anakanda datang melihat Ayahanda...

Semalam selepas 7 hari Ayahanda dikebumikan.. Anakanda, bonda, kekanda dan adik-adik datang melawat Ayahanda.. Kami naikkan sedikit tanah kubur Ayahanda.. Tanah dah mendap sedikit.. Kekanda dan adik tinggikan kuburan Ayahanda... Adik juga taburkan bunga kertas warna merah pada kuburan Ayahanda... Kami bacakan Yassin buat Ayahanda..

Hari ini Anakanda dah mula bekerja semula.. tapi hati anakanda masih hiba.. Menulis ini sahaja sudah membuatkan airmata anakanda berulang kali mengalir.. Beberapa hari lepas kira anakanda.. emosi anakanda sudah ok... rupanya bila anakanda pulang ke rumah.. Masih ada baju-baju Ayahanda di bilik 1 lagi di rumah anakanda.. Apatah lagi semua pokok-pokok di rumah itu Ayahanda yang tanam.. selama 5 tahun anakanda di luar negara.. Ayahandalah yang menjaga rumah itu.. Terlalu banyak kenangan di rumah anakanda yang mengingatkan anakanda pada Ayahanda.. Ayahanda hanya dapat datang sekali ke rumah itu.. tidur di rumah itu.. Kini.. semua tinggal kenangan...

Dulu bila anakanda mendengar berita kematian Ayahanda pada sahabat-sahabat baik anakanda.. Anakanda kira sudah cukup membuatkan anakanda memahami apa mereka rasa.. Kini.. Bila ianya terjadi pada anakanda... Anakanda lebih memahami... Bagaimana rasanya kehilangan...Ramadhan dan Raya kali ini tidak akan sama lagi.. Kali terakhir anakanda berhari raya bersama Ayahanda pada tahun 2010... kini 2012.. Bila anakanda pulang.. tidak ada lagi Ayahanda di pagi raya...

Apa juga Anakanda redha... Ayahanda di tempat yang lebih baik.. Semoga Allah letakkan Ayahanda dikalangan yang dirahmati.. Anakanda doakan Ayahanda dijauhkan dari seksaan kubur.. dipermudahkan dan tenang di sana bersama arwah Nenek dan Atok.. Walaupun anakanda sedih kehilangan Ayahanda.. tapi Anakanda tahu.. Kini Ayahanda ada arwah Nenek dan Atok bersama Ayahanda.. Kata Bonda... Arwah nenek sudah datang dalam mimpi bonda beberapa hari sebelum Ayahanda pergi.. Muka Arwah nenek berseri-seri tersenyum.. Arwah nenek menunjukkan sebuah bilik milik Ayahanda.. Bonda lihat Ayahanda terbaring dalam bilik itu..

Ayahanda...

Maafkan Anakanda seandainya selama ini anakanda ada menyusahkan Ayahanda... Anakanda tidak sempat bawa Ayahanda naik kereta anakanda.. walaupun pagi Ahad itu.. Ayahanda basuh kereta itu...

Terima kasih kerana membesarkan anakanda. mendidik anakanda.. menasihati anakanda.. Hingga bila-bila pun anakanda takkan dapat balas jasa Ayahanda...

Anakanda rindukan Ayahanda... 
Sejahteralah Ayahanda di sana..
Al-Fatihah
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...